TABIAT zaman berzaman orang Vietnam yang suka menyorokkan emas di rumah daripada menyimpan wang di bank dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh kerajaan negara itu. Semuanya gara-gara harga emas yang terus melambung tinggi.Berdasarkan Majlis Emas Dunia tahun lalu, Vietnam membeli lebih banyak emas perkapita berbanding India dan China. Harga emas domestik di Vietnam pula meningkat 18 peratus jauh lebih tinggi daripada harga pasaran emas dunia yang menyaksikan kenaikan 11 peratus.Sememangnya tabiat yang sudah diamalkan turun temurun itu sukar dikikis.
Walaupun emas dianggap sebagai simpanan selamat, tetapi tindakan penduduk yang ‘menyerbu’ kedai emas membuka mata kerajaan Vietnam apabila mereka berhadapan dengan kadar inflasi sebanyak 18 peratus dan ketidakstabilan mata wang tempatan, dong.
Atas sebab yang praktikal, kebanyakan penduduk Vietnam lebih suka melihat simpanan mereka dalam bentuk emas. Malah kadar faedah sebanyak 14 peratus yang ditawarkan oleh pihak bank kepada penduduk yang menyimpan dong tidak mampu menarik perhatian mereka apatah lagi ia jauh lebih rendah daripada kos sara hidup yang meningkat 18.6 peratus tahun lalu.
“Empayar boleh jatuh, mata wang boleh berubah tapi emas akan terus bertahan,” kata pakar sosiologi, Vu Duc Vuong.
Kerajaan Vietnam bukan saja mengehadkan perdagangan emas tetapi akan mengadakan kempen besar-besaran untuk menggalakkan penduduknya menyimpan emas di bank dan tidak lagi menyorokkannya di rumah.
Menyimpan emas milik peribadi ini di bank akan memberi kelebihan kepada pihak berkuasa kerana ia boleh dijadikan alat untuk menstabilkan ekonomi.
“Jika faedah yang diberikan itu lebih tinggi dan pihak bank dapat membuktikan kredibiliti mereka, saya rasa 80 peratus penduduk akan menyimpan emas mereka di bank,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Agribank Jewelry Company, Nguyen Thanh.